Suara Mahasiswa (1)

0

Posted on : 4:37 PM | By : BIRO AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN


Kejutan budaya punca pelajar di IPTS gagal capai GPA 2.0


Assalamualaikum wbt.....

KEJUTAN budaya dan sikap tidak bertanggungjawab dipercayai menjadi punca 112,132 pelajar gagal mendapat keputusan nilai purata gred kumulatif (GPA) 2.0 sehingga pinjaman pelajaran mereka terpaksa ditahan seperti didedahkan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman, baru-baru ini.

Pencapaian di bawah GPA 2.0 tidak dapat diterima terutama bagi pelajar sepenuh masa, apatah lagi di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Bukan sukar mendapat GPA 2.0 jika mereka menumpukan perhatian ketika di dewan kuliah.

Berdasarkan statistik Bahagian Penguatkuasaan dan Inspektorat, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, pada Januari hingga Jun lalu, 17 IPTS dikompaun dan antara kesalahannya kerana mengambil pelajar di bawah syarat minimum. Tindakan itu membabitkan 26 kompaun pelbagai kesalahan berjumlah RM231,000.

Kesalahan mengambil pelajar di bawah syarat minimum bukan sebagai punca utama pelajar gagal mencapai GPA 2.0, atau mungkinkah pelajar tidak menjalankan tanggungjawab selepas diberi kepercayaan dan peluang memilih bidang pengajian.

Adakah alasan terbawa dengan gaya atau budaya sekolah menengah yang segala-galanya disediakan menjadikan mereka leka kerana di IPTS semua perlu dirancang sendiri dan tiada siapa yang akan mengingatkan waktu sesuai untuk mengulang kaji pelajaran.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Khaidir Ismail, yakin kejutan budaya menjadi masalah utama kerana pelajar dalam pencarian identiti menyebabkan mudah menerima perubahan persekitaran.

“Corak pembelajaran di sekolah menengah dengan kelas tuisyen dan latihan tubi diatur guru, tetapi apabila melangkah ke alam universiti mereka perlu melakukan sendiri. Di universiti agak bebas, malah kelas pun boleh dipilih sama pada pagi atau petang,” katanya.

Gagal merancang waktu belajar dan menyesuaikan diri dengan suasana kampus antara masalah awal yang perlu dilalui pelajar, tetapi bukan bermaksud mereka kekal dengan budaya sekolah dan menjadikan alasan perlu lebih masa penyesuaian diri sehingga mendapat keputusan tidak baik.

Ternyata kebebasan dan kemudahan dana yang diberi disalahgunakan remaja yang berasa mereka tidak perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan baik kerana sudah berada di menara gading.

Lebih buruk lagi ada pelajar mudah terpengaruh dengan budaya luar hingga hanyut dan akhirnya lupa tanggungjawab untuk belajar.

Dr Khaidir menganggap keputusan PTPTN bukan zalim kerana kerajaan mahu pelajar terbabit insaf dan penahanan itu harus dijadikan pengajaran kepada pelajar supaya tidak lupa tanggungjawab.

“Ini syarat perlu mereka patuhi dan menjadi hak PTPTN sebagai pemberi pinjaman,” katanya.

Dr Khaidir berkata, penting untuk melahirkan modal insan terbaik dengan daya tahan tinggi kerana kebanyakan masalah pelajar ialah gagal melawan godaan.

“Masalah (keciciran pelajaran) tidak berlaku jika mereka mempunyai nilai murni dan rasa tanggungjawab,” katanya.

Sekalipun pinjaman diteruskan jika pelajar kembali menunjukkan prestasi baik pada semester berikutnya, penahanan dibuat lagi jika perkara sama berulang.

“Mungkin kerana longgarnya syarat di IPTS menjadikan ramai pelajar yang mengambil mudah pelajaran mereka,” kata Dr Khaidir.

Setakat ini, pelbagai cara dan pertimbangan sudah dilakukan pengurusan PTPTN bagi memberi kemudahan kepada pelajar.

PTPTN sanggup melonggarkan syarat untuk menyalurkan bantuan penuh daripada RM3,000 kepada RM4,000 jumlah pendapatan seisi keluarga. Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan ekonomi semasa, termasuk harga barangan dan perkhidmatan.

Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff, berkata peminjam yang disenarai hitam perlu berunding dengan PTPTN.

“Kaedah menang-menang ini dibuat bagi memberi peluang kepada peminjam agar memilih jalan terbaik untuk membayar pinjaman.

“Antara punca peminjam disenarai hitam kerana mereka tidak langsung menghubungi PTPTN, sekalipun diberi surat peringatan agar membayar pinjaman enam bulan selepas pengajian tamat,” katanya.


Petikan Akhbar Berita Harian

Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my
2010/08/18


p/s : Adakah realiti ini turut berlaku di Insaniah yang merupakan salah satu IPTS di Malaysia ??? lontarkan pandangan dan komentar anda sebagai mahasiswa mengenai isu ini...

Share this :

  • Stumble upon
  • twitter

Comments (0)

Post a Comment