Syabas Uzair!

0

Posted on : 1:31 AM | By : BIRO AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN

Baru-baru ini, sedikit heboh tentang hukuman rejam terhadap penzina di Somalia, akhirnya email besrta gambar rejam yang agak mengerikan ini tersebar dalam manarianz email group (maaf tak dapat sertakan gambar), thanks buat rakan2 Manarianz atas info yang tangkas. Berikutan itu, terdapat beberapa golongan yang meragui perlaksanaan hukuman rejam itu. Adakah cara perlaksanaannya benar? adakah rejam dalam Islam mmg kejam dan zalim?

Alhamdulillah, saudara Uzair Al-madani telahpun memberi sebuah jawapan yang saya rasakan memuaskan dan tepat. Saya ucapkan tahniah buat Ust Uzair yang masih berada di Madinah dan akan menamatkan pengajian tak lama lagi! Syukran ya akhi, pelajar Syariah Insaniah sepatutnya lebih peka dan tangkas dalam mengulas dan membincangkan isu seperti ini... Berikut adalah penulisan ringkas dari saudara Uzair Kuliyah Al-quran dari Madinah Munawwarah,



"Salam semula kepada semua sahabat.....

Jazakumullahu khairan kepada al-akh Fahim al-Yabani al-N9 di atas pertanyaan beliau. Masa awal2 hantar mail tu ingat dah lengkap rupanya masih ada kekurangan. Terima kasih sekali lagi kepada al-akh Fahim kerana menghilangkan rasa syok sendiri dalam diri si pengirim.

Sekali imbas nampak seperti perbuatan yang dilakukan itu tidak ada masalah. Islam melarang umatnya berzina ataupun melakukan perkara yang menghampiri zina. Sekiranya dilakukan maka hukumannya adalah 100 sebatan dan taghrib (buang daerah) bagi yang belum berkahwin serta rejam sampai mati bagi yang sudah berkahwin serta 50 sebatan bagi hamba. Namun suka si pengirim di sini untuk menekankan beberapa perkara....:

Pertama, apabila kita sebagai seorang muslim mengetahui tentang perbuatan zina yang dilakukan oleh orang lain. Apakah tindakan kita? Secara umum ia termasuk dalam perbincangan apabila seseorang muslim itu melakukan kesalahan adakah kita patut mendiamkan kesalahan sambil menasihati mereka supaya bertaubat atau melaporkan kepada pihak berkuasa. Kebanyakan para pengkaji ilmu berpendapat sekiranya kesalahan itu hanya untuk diri sendiri seperti berzina untuk kali pertama lebih aula untuk kita diamkan (tidak memberitahu kepada sesiapa) dan menasihati mereka supaya bertaubat. Islam amat menggalakkan umatnya supaya saling menutup keaiban orang lain walaupun dalam perkara melibatkan hudud. Namun sekiranya perbuatan mereka melibatkan kerosakan pada orang Islam yang lain seperti suka berzina atau merogol atau suka merompak maka wajib untuk diberitahu kepada pemerintah agar mereka dihukum dan orang Islam aman daripada kejahatan mereka.

Keduanya, yang boleh menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan hanyalah seorang pemerintah bukan orang perseorangan atau kumpulan2 tertentu. Kebenaran untuk melakukan hudud, qisas dan takzir hanya milik seorang pemerintah. Ini sekiranya pemerintah itu muslim. Sekiranya pemerintah bukan muslim maka hak penghukuman diberi kepada badan yang mewakili orang2 Islam di sesebuah kawasan.

Ketiganya, Islam mendidik kita supaya tidak terlalu cepat dalam penghukuman. Islam memerintahkan supaya setiap kesalahan yang dilaporkan untuk diselidiki secara mendalam sebelum hukuman dijatuhkan. Apabila lengkap kesemua syarat dan tidak ada keraguan maka hukuman akan dijatuhkan. Dalam kes zina misalnya, amat jarang sekali zina dibuktikan dengan 4 orang saksi. Ia sering dibuktikan dengan iktiraf (pengakuan) atau qarinah (tanda2) seperti mengandung anak luar nikah dan sebagainya.

Keempat, satu kaedah dalam fiqh jenayah. Tolaklah Hudud dengan Syubahat. Prinsip keindahan Islam dalam perundangan dan penghakiman. Prinsip yang ramai orang tidak memberi perhatian ketika menceritakan tentang hukuman jenayah dalam Islam yang menjadi syubhat penting golongan2 yang memusuhi Islam untuk menjatuhkan Islam. Lihat bagaimana Rasulullah Solla Allahu 'alaihi wa Sallam menolak pengakuan Ma'iz Radiallahu 'anhu sahabat baginda yang mengaku berzina. Kali pertama Rasulullah menolak dengan mengatakan : Rasanya kamu hanya bercium. Begitu juga kali kedua dan kali ketiga sehingga pada kali yang terakhir Rasulullah kata kepada Ma'iz : Adakah kamu gila?. Begitu sekali keadaan Rasulullah untuk mendatangkan syubhat agar hukuman dapat dielakkan. Begitu juga dengan kisah perempuan Ghamidiah yang mengaku berzina dimana Rasulullah menolak untuk melakukan hudud kerana perempuan tersebut masih mengandung. Kemudian selepas bersalin Rasulullah tetap tidak melakukan hudud kerana perempuan tersebut masih menyusukan anak. Selepas habis tempoh susuan Rasulullah tetap tidak melakukan hudud dengan alasan anak perempuan itu masih kecil walaupun perempuan tersebut tetap mendesak supaya dia dihukum. Begitu juga dengan kisah para sahabat yang menuduh (qazaf) al-Mughirah bin Syu'bah pada zaman Umar al-Khattab Radiallahu 'anhum jamii'an. Umar tidak menjalankan hudud kerana saksi yang keempat tidak melihat perbuatan tersebut seperti mana 3 orang yang lain. Begitu juga Umar radiallahu 'anhu tidak menjatuhkan hukuman kepada pencuri-pencuri pada 'am al-maja'ah (kemarau yang melanda Madinah) kerana syubhat kekurangan makanan dan kesukaran untuk mendapatkannya ketika itu. Dan kita dengan begitu bersemangat melihat orang melakukan kesalahan dan menuntut supaya dia terus dihukum!!!

Kelima, sesiapa yang meneliti gambar itu pasti dapat melihat batu-batu yang digunakan untuk 'rejam' itu terlalu besar. Jangan kata orang bukan Islam, orang Islam sendiri pasti ngeri melihat keadaan yang berlaku. Adakah Islam, sebuah agama yang membawa rahmah kepada alam keseluruhannya memperlakukan orang sedemikian rupa. Adakah baginda Solla Allahu 'alaihi wa Sallam yang memerintahkan supaya kita berlembut dengan binatang (hadis ke-17 dalam koleksi 40 hadis al-Imam an-Nawawi) dan melarang kita membinasakan tumbuhan ketika peperangan menghukum manusia dengan batu-batu yang begitu besar seolah-olah matlamatnya untuk membunuh.

Keenam, Islam amat menekankan konsep mencari ilmu dan meletakkan ilmu (al-Quran dan as-Sunnah) sebagai neraca timbangan dalam menilai dan menghukum. Semangat itu penting namun mestilah bersandarkan pada ilmu yang kukuh ('ala basiirah) seperti dalam surah Yusuf ayat 108.

Wallahu a'lam. Segala yang baik itu daripada Allah dan yang buruk dan kekurangan itu daripada kelemahan pengirim sendiri.

Salam dari bumi al-Madinah al-Munawwarah."

Share this :

  • Stumble upon
  • twitter

Comments (0)

Post a Comment