Bermulalah Semester Baru...

0

Posted on : 8:01 AM | By : BIRO AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN


Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara.


Bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita masih lagi diberikan peluang untuk merasai dua nikmat utama iaitu Iman dan Islam. Walaupun kita sudah bercuti selama 2 bulan setengah,namun perlulah kita muhasabah diri, melihat apa yang telah kita lakukan, apakah kekuatan dan kelemahan kita agar setiap kekuatan akan kita gembeling untuk memacu tindakan seterusnya di samping mengatasi sebarang kelemahan yang ada. Marilah kita sama-sama berdoa semoga kita sentiasa mendapat rahmat dari Allah SWT.

Terlebih dahulu ucapan Selamat Datang kami ucapkan kepada seluruh warga Kolej Universiti INSANIAH,semoga ketibaan kita di KUIN akan membuka satu lembaran baru bagi diri kita sebagai seorang mahasiswa/i dan muslim.

Sesi kemasukan bagi pelajar baru untuk tahun 2009/2010 telahpun bermula. Tahniah kepada semua pelajar baru yang berjaya melanjutkan pengajian di Kolej Universiti INSANIAH. Kepada pelajar senior, selamat kembali ke kampus dan selamat meneruskan pengajian. Kepada para pensyarah, selamat meneruskan agenda mendidik para mahasiswa agar menjadi insan terdidik dan cemerlang. Setiap kita perlu sentiasa berusaha untuk menjadi manusia yang paling berguna dan bermanfaat kepada orang lain.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan orang mukmin itu adalah seperti pokok kurma, semua apa yang ada padanya dapat dimanfaatkan”.

(H.R. Bazzar)


Hadith ini memberikan satu garis panduan yang amat penting bagi kita agar sentiasa memastikan diri menjadi orang yang paling bermanfaat kepada orang di sekeliling kita. Tidak mengira sama ada sebagai mahasiswa, pensyarah mahupun pentadbir.


Dalam keghairahan kita untuk menyambut semester dan tahun baru yang sudah menjelang tiba,janganlah kita lupa bahawa kepentingan kita sebagai mahasiswa/i yang menjadi harapan ibu dan ayah. Di samping itu,dalam kita bergembira dan berhibur janganlah kita leka dan alpa tentang tanggungjawab kita sebagai penyambung rantai-rantai perjuangan Rasulullah S.A.W.

Firman Allah:

"Kamu(umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia,kerana menyuruh melakukan perkara makruf (baik) dan mencegah dari kemungkaran dan beriman kepada Allah."

(surah Ali-Imran:110)

Sahabat –sahabat yang dihormati sekalian,

Walaupun kita sudah lama bergelar mahasiswa/i , seperti kebiasaanya,apabila tiba semester atau tahun baru pengajian, maka kita akan memasang atau memperbaharui niat. Kalau niat kita baik insyaallah kita mampu menjadi mahasiswa/i yang baik begitu juga sebaliknya. Dalam buku hadith 40 karangan Imam Nawawi, beliau meletakkan hadith tentang niat sebagai hadith yang pertama.

Amirul Mukminin Abi Hafsh Umar bin Khattab R.A berkata,aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda,

“Sesungguhnya amal perbuatan itu disertai dengan niat dan setiap orang mendapat balasan amal yang sesuai dengan niatnya. Barangsiapa yang berhijrah hanya kerana Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu menuju Allah dan Rasul-Nya.Barangsiapa hijrahnya kerana dunia yang ia harapkan atau kerana wanita yang ingin ia nikahi, maka hjrahnya itu menuju yang ia ingini”.
(Bukhari dan Muslim)

Semoga kita mendapat keredhaan Allah atas kerja baik kita dan dapat mengharungi cabaran dengan sabar dan tabah.Akhir kata dari kami dari Biro Akademik MPM 09/10, sempena menyambut semester dan tahun baru ini semoga kita dapat menjadi insan yang lebih cemerlang daripada sebelumnya. Di samping itu,dapat kita mempertingkat ketaqwaan kita kepada Allah dan memainkan peranan sebagai pemuda-pemudi islam yang akan menjadi peneraju kepada islam dan Negara tercinta.

Wallahu'alam... Wassalam...

Share this :

  • Stumble upon
  • twitter

Comments (0)

Post a Comment