Isu kelas intensif Insaniah

0

Posted on : 8:26 AM | By : BIRO AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN

Pendapat ini boleh jadi benar boleh jadi salah, selagi mana ianya berdiri atas dalil zhonni maka tidak dapat tidak ia boleh diterima dan boleh ditolak. Saya lebih suka menggunakan bahasa yang mudah dan senang difahami kerana Islam itu mudah dan ia akan menjadi susah sekiranya kita sendiri yang menyusahkannya. Oleh itu istilah-istilah dalam penulisan ini dan takrif-takrif yang diberi akan diringkaskan berdasarkan pengamatan dan kajian.

Secara ringkas akad ijarah adalah akad tukar ganti bagi mendapatkan manfaat dengan bayaran yang diketahui dan dipersetujui. Ia terbahagi kepada dua jenis sewa manfaat barang dan upah pekerja. Kiranya, sewaan barangan@manfaat adalah ijarah, upah pekerja juga adalah ijarah. Ijarah adalah akad tukar ganti yang lazim, bermakna sekiranya sebuah akad ijarah telah dipersetujui, ia tidak boleh dibatalkan oleh hanya sesebuah pihak, ia boleh dibatalkan jika hanya kedua-dua belah pihak bersetuju dan reda dengan pembatalan tersebut.

Apabila kita telah mengetahui bahawa Ijarah adalah akad tukar ganti maka kita harus mengetahui bahawa apa yang diharamkan dalam jual beli 'akad bai' ' juga diharamkan dalam Ijarah. Termasuk penipuan, zalim, gharar,sewa manfaat @ barangan haram, upah pekerja untuk pekerjaan yang haram.

Universiti menggunakan akad Ijarah.
Saya tidak membincangkan universiti yang berdiri diatas harta wakaf mahupun universiti yang berdiri tanpa sebarang unsur komersial. Yang dibincangkan disini adalah universiti atau kolej yang berdiri diatas unsur komersial iaitu perniagaan. Maka kalau dilihat akad yang berlaku antara pelajar (pelanggan) dan pihak universiti (pemberi khidmat) adalah akad ijarah. Untuk membuktikannya mari kita cuba periksa rukun-rukun Ijarah adakah perjanjian antara pelajar dan pihak universiti menepati rukun-rukun ijarah :

Rukun-rukun Ijarah :

1) Pemberi sewa @ khidmat = (pihak universiti)
2) Penyewa atau pengguna khidmat = (pelajar)
3) Manfaat @ Khidmat yang ditawarkan = (kelas pengajian dan ijazah kepujian atau selainnya)
4) Bayaran harga bagi khidmat yang ditawarkan = (yuran pembelajaran)
5) Sighah = (perjanjian hitam putih antara pelajar dan pihak universiti)

Selesai, maka kita dapati sememangnya perjanjian para pelajar dengan pihak universiti adalah berdiri diatas akad Ijarah. Sesiapa yang mahu menafikannya perlulah membawa hujah bagi membuktikan selainnya. Setelah kita mengetahui bahawa akad antara kita adalah akad Ijarah maka kita perlu mengetahui elemen-elemen yang dilarang didalam ijarah.

Pastinya, didalam akad tukar ganti terdapat beberapa larangan yang penting antaranya gharar. Gharar atau ketidaktentuan boleh berlaku dalam banyak jenis keadaan. Contohnya, menjual ikan dipasar tanpa menimbang atau menetapkan kuantiti dengan tepat adalah gharar, menjual barangan dalam kotak yang tidak dapat dilihat jelas barangannya juga gharar, menjual atau menyewakan sesuatu dengan 2 harga gharar, menjual sesuatu yang tidak pasti akan kewujudannya adalah gharar.

Yang kedua, terdapat larangan daripada Nabi s.a.w membuat jual beli dengan 2 harga, jual beli dengan bersyarat contohnya aku jual kereta ini dengan syarat kau perlu menjual rumah itu', ataupun lebih teruk lagi aku sewakan kereta ini kemudian setelah pelanggan membayar sewa, tuan kereta berkata ' kamu telah menyewa kereta ini maka wajib bagimu menyewa motor ini'. Ini akan mendatangkan ketidaktentuan dalam pembayaran yang perlu dilakukan oleh pelanggan. Kadangkala pelanggan sememangnya, mempunyai wang yang cukup-cukup untuk hanya membayar sewa yang telah dipersetujui namun, akibat terdapat unsur gharar maka pelanggan diwajibkan membayar bayaran tambahan mengakibatkan penindasan dan kesusahan.

Isu kelas intensif RM 500 dan RM 2000 di Insaniah.

Saya mengambil langkah berani untuk menulis artikel serba ringkas ini, walaupun terdetik rasa bimbang akan ada masalah yang mendatang sekiranya 'pendapat' ini tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu. Pada pendapat saya, sistem yang digunakan bagi mewjibkan pelajar mengambil kelas Intensif sebanyak RM500, dan perlu mengambil kursus RM2000 sekiranya gagal dalam kelas intensif pertama , perlu diperbetulkan. Ya, perlu diperbetulkan.

Pertamanya, sepertimana yang diterangkan sebentar tadi kita menjalani akad ijarah. Pelajar datang ke Insaniah bagi mendapatkan khidmat pengajian dan Ijazah yang boleh melayakkan mereka meneruskan kerjaya, kemudahan di universiti dan lain-lain. Maka pelajar atas akad Ijarah pelajar membayar 'yuran' yang kepada pihak universiti. Jadi antara syarat 'harga' sesebuah manfaat atau barangan, 'ia perlulah jelas tanpa sebarang ketidaktentuan' maka disini kita fahami sekiranya yuran berserta duit pendaftaran dan segala jenis bayaran perlulah ditetapkan pada 'awal' kontrak. Ini dapat mengelakkan sebarang salah faham dan pertelingkahan antara pelajar dan pihak universiti. Dalam isu kelas intensif 500, dan kursus bahasa rm2000 (sekiranya tidak lepas peperiksaan awal) , pihak universiti sepertimana yang saya dimaklumkan 'tidak membuat pemberitahuan awal secara rasmi' tentang kewajipan membayar RM500 dan kursus bahasa rm2000 sekiranya pelajar gagal. Ini jelas terdapat unsur gharar didalam akad yang ditandatangani. Seolah-olah, apabila seseorang itu memberi khidmat untuk membaiki ruang tamu dan didalam borang tawarannya harga upah pembaikannya adalah RM300. Kemudian tanpa sebarang pemberitahuan awal dalam kontrak tersebut , setelah pelanggan bersetuju, dia menambah dan mewajibkan pula pelanggan tersebut membayar upah membaiki dapur rumah sebanyak Rm400. Maka ini adalah jual beli bersyarat ataupun 2 jual beli dalam satu sepertimana yang dilarang Nabi s.a.w. "Tidak ada jual 2 jual beli dalam satu jual beli'', perlu igt Ijarah adalah akad tukar ganti sepertimana jual beli.

Hakikatnya, pelajar-pelajar yang datang tak kira daripada luar dan dalam negara, ketika menerima surat tawaran untuk MENDAPATKAN KHIDMAT PENGAJIAN IJAZAH ATAU DIPLOMA akan membaca syarat-syarat dan bayaran yang diperlukan kemudian akan membuat pilihan ipt2 yang menawarkan kursus diminati dan harga berpatutan. Jadi sekiranya sesebuah universiti ingin menawarkan khidmat pengjian serta Ijazah kepujian atau diploma adalah lebih baik jika ada dibuat pemberitahuan awal segala pembayaran dan syarat-syarat yang termasuk dalam perjanjian pada awal kontrak. Pemberitahuan ini pula perlulah secara jelas dan rasmi, seperti menyertakan sekali syarat 'kelas intensif RM500 dan RM2000 (sekiranya gagal pada kelas awal) dalam surat tawaran atau borang pendaftaran agar tidak berlaku kekeliruan atas kontrak dan bayaran yang dipersetujui.

Kebanyakan pelajar khususnya pelajar antarabangsa pada ketika ini, terkeliru kerana dalam surat tawaran atau kontrak awal mereka diwajibkan membayar yuran bagi setiap jam kredit yang diambil serta beberapa bayaran asas yang lain bagi mendapatkan khidmat pengjian kursus yang dikehendaki (Ijazah atau diploma) Tetapi tanpa disangka, setelah menandatangani kontrak awal, terdapat kontrak ijarah kedua (yang diwajibkan) iaitu kelas intensif dan sekiranya gagal dalam kelas tersebut diwajibkan pula kursus bahasa rm2000! ? jelas gharar, serta jual beli bersyarat @ 2 kontrak dalam 1 kontrak sememangnya berlaku dan ianya tidak menepati kehendak syariah.

Keadaan akan berubah sekiranya pihak universiti dengan lebih terang dan jelas membuat pemberitahuan awal dalam surat tawaran ataupun borang pendaftaran jadi pelajar mempunyai pilihan samada ingin memilih khidmat yang ditawarkan oleh Insaniah ataupun tidak. Namun tanpa pemberitahuan awal menyebabkan pelajar mahu atau tidak terpaksa mengambil sebuah lagi khidmat kelas intensif atau kursus bahasa dengan harga bayaran yang tinggi.

Saya bersetuju dengan kelas intensif sebagai syarat untuk masuk ke Insaniah kerana ianya syarat yang bersesuaian dan banyak dilaksanakan di universiti lain. Namun pemberitahuan awal tentang kelas tersebut serta bayarannya perlu jelas diketahui oleh para pelajar sebelum mereka mendaftarkan diri sebagai pelajar Insaniah. Mungkin gharar yang terdapat dalam isu ini boleh diatasi dengan meminimumkan bayaran kepada RM200 ringgit atau kurang. Kerana sekiranya pihak universiti mengurangkan bayaran tersebut kemungkinan gharar yang berlaku boleh dikategorikan dalam 'gharar ghairu muaththir' yang dimaafkan oleh ramai para ulama'. Namun, harga yang diletakkan adalah tinggi menyebabkan ianya pada pandangan saya adalah 'gharar muaththir' yang dilarang tambahan pula servis pengajian yang diberi agak mengecewakan kerana

1)masa pembelajaran kelas intensif terlalu singkat
2) persekitaran dan kemudahan yang kurang kondusif
3) tenaga pengajar sebahagiannya hanyalah terdiri dikalangan para pelajar biasa.

Malahan, sekiranya pelajar-pelajar tidak melepasi peperiksaan bagi kelas intensif ini diwajibkan untuk mengambil kursus bahasa rm2000. Sedangkan bayaran yuran pengjian 1 sem (6 bulan) pada sesi-sesi lepas bagi prog ijazah pun belum melepasi rm2000 inikan kursus bahasa rm2000 wajib diambil untuk memasuki pengajian teras iaitu sem pertama yang bayarannya kurang daripada rm2000.

Dengan itu Biro Akademik sekali gus berharap kerjasama dari pihak pentadbiran untuk segera membincangkan isu ini agar Insaniah akan terus berada diatas keberkatan dan rahmat Allah kerna menawarkan khidmat diatas kontrak yang 100% menepati Syariah Islam.

'Bersama menjulang thaqafah, Menuntut Amal, Mencetus Perubahan'

Untuk Edaran segera,
Pengerusi Biro Akademik
Pejabat Majlis Perwakilan Mahasiswa Insaniah

Share this :

  • Stumble upon
  • twitter

Comments (0)

Post a Comment